ARTICLES
- Home
- Articles
Belajar dari Universalisme Islam Seruan Nurcholish Madjid
Salah satu fenomena penting yang terjadi di negara-negara Muslim di era moden adalah lahirnya pembaharuan pemikiran Islam. Para pembaharu muncul untuk mengarahkan umat Islam untuk mengubah cara pandang mereka, sehingga Islam terasa lebih segar, lebih relevan, dan lebih berghairah menyambut perubahan. Di Indonesia, ada seorang tokoh pembaharu bernama Nurcholish Madjid (1939-2005), atau akrabnya dipanggil Cak Nur. Meskipun ada lebih ribuan sarjana dan ahli Islam di Indonesia, namun hanya sedikit yang bersungguh-sungguh tumbuh menjadi pemikir, ahli falsafah, dan pembaharu. Cak Nur adalah salah satunya.
Saya tidak berniat untuk menjelaskan siapa Cak Nur. Di dalam tulisan ini, kita hanya akan sedikit menelusuri salah satu pandangan beliau yang paling penting, yakni universalisme Islam. Sebelum itu, kita harus sedar akan keperluan pencerahan pemikiran untuk umat Islam masakini. Satu fakta yang jelas adalah masyarakat Muslim tidak pernah kekurangan ulama, santri, dan masjid; namun ada defisit pemikiran Islam yang progresif. Oleh kerana itu, generasi muda Muslim hari ini perlu untuk belajar kembali dari para pembaharu yang berfikiran progresif, termasuk Cak Nur.
Tetapi, mengapa Cak Nur? Saya tidak setuju dengan sebagian sarjana kajian Islam di Indonesia –sama ada beberapa pensyarah saya sendiri mahupun ahli-ahli Islam lainnya – yang berfikir bahawa pemikiran Cak Nur tidak relevan lagi bagi Indonesia di abad-21. Alasannya seperti berikut.
Menurut sejarawan Merle Calvin Ricklefs, Indonesia pada abad ini, terutamanya di Tanah Jawa, mengalami peningkatan gelombang Islamisasi. Semenjak dua dekad kebelakang, dalam aspek politik, ekonomi, dan sosial, gerakan-gerakan Islam dan parti politik Islam semakin mempengaruhi persepsi masyarakat Indonesia. Melalui pelbagai medium, termasuk sekolah dan universiti, kelompok konservatif memimpin “orkestra” Islamisasi yang menampilkan Islam sebagai identiti politik dan budaya yang berlawanan secara tajam dengan agama, etnik, dan kebudayaan lain, yang secara sepihak diberi label “tidak Islami”.
Sudah pasti, bagi Cak Nur penyalahgunaan agama sebagai pemicu perpecahan masyarakat adalah hal yang paling tidak diinginkan. Itu sahaja sudah menjadi alasan mengapa universalisme Islam Cak Nur menjadi sumber harapan untuk memahami Islam yang lebih inklusif dan toleran.
Akan tetapi, itu bukan satu-satunya alasan. Ada kecenderungan di antara sarjana-sarjana kajian Islam saat ini yang memandang bahawa isu utama kita hari ini bukanlah konservatisme, melainkan rasuah, kezaliman oligarki, dan kerosakan alam. Namun, mereka tidak menyedari bahawa kaum Muslim telah kehabisan tenaga kerana sering berkonflik dan berpolemik di lingkungan internal agama mereka sendiri. Universalisme Cak Nur adalah pandangan yang membebaskan seorang Muslim dari konservatisme beragama mereka, sehingga membuka saluran tenaga mental untuk mampu melibatkan diri dalam agenda penegakan keadilan di dalam negara.
Universalisme Islam
Sumber utama kita untuk memahami universalisme Islam Cak Nur adalah buku beliau, Islam Doktrin dan Peradaban (1992). Menggunakan pendekatan sejarah – yang mungkin beliau pelajari secara mendalam dari gurunya, Profesor Fazlur Rahman – Cak Nur mengatakan bahawa semenjak kemunculannya, Islam telah secara eksplisit menerima kemajmukan manusia, bangsa, budaya, dan agama. Penerimaan ini bukan hanya tertulis di dalam al-Qur’an dan sabda Nabi, melainkan terlaksana juga berabad-abad lamanya di jantung peradaban Islam yang kosmopolitan.
Sebagaimana juga yang terjadi di dalam sejarah, Cak Nur memandang Islam sebagai sebuah gerakan agama yang terbebas dari tuntutan-tuntutan eksklusivisme. Ertinya, tidak ada ras, bangsa, bahasa, bahkan agama formal, yang dianggap sebagai paling unggul, eksklusif, dan paling benar.
Pandangan Cak Nur ini kelak disetujui oleh sejarawan Fred Donner di dalam bukunya Muhammad and the Believers (2012). Hasil penyelidikan sejarah, Donner menemukan bahawa Islam bermula sebagai gerakan moral-keagamaan yang bersifat ekumenikal dan inklusif. Islam awal, menurut Donner, terbuka untuk merekrut dan bekerjasama dengan masyarakat beriman yang lain, terutamanya Yahudi dan Kristian. Fazlur Rahman, pendahulu Donner dan guru Cak Nur, berkata bahawa itulah sikap asli Islam terhadap agama-agama lain; sebab al-Qur’an (Al-Baqarah 2:62) menyatakan bahawa siapa pun yang beriman kepada Tuhan yang Esa, alam akhirat, dan berperilaku baik – apa pun agama formalnya – dia akan diselamatkan oleh Tuhan.
Inilah makna utama universalisme Islam, yakni agama yang bersikap ramah, toleran, dan merangkul semua manusia secara universal. Adapun alasan di sebalik posisi Islam yang universal ini, menurut Cak Nur, terletak pada sikap Islam yang mengutamakan unsur kemanusiaan di dalam diri setiap manusia. Dengan erti kata lain, kemuliaan seseorang adalah kerana Tuhan menciptakan dia sebagai manusia.
Kerana sangat menghormati kemanusiaan dan dengan demikian, selaras dengan hati nurani setiap orang, maka menurut Cak Nur, Islam dapat tumbuh menjadi agama yang mencakup berbagai ras dan bangsa, dengan kawasan pengaruh yang mencakup hampir semua wilayah iklim dan geografik di dunia.
Namun, penekanan Cak Nur terhadap universalisme Islam hanya boleh difahami secara sempurna jika kita juga mengingat kembali bahawa agama-agama tradisional, termasuk Islam, pada umumnya lahir sebagai fenomena setempat dan bersifat partikularistik. Sebagai kesannya, elemen setempat yang khusus selalu menjadi lahan subur bagi pertumbuhan sikap eksklusivisme agama-agama. Oleh kerana itu, pentakrifan semula Cak Nur tentang Islam sebagai agama universal, di satu sisi, merupakan counter-narrative terhadap sikap sebagian besar Muslim yang meyakini Islam sebagai agama tertutup dan sangat khusus.
Sebaliknya, usulan Cak Nur – sebagaimana pandangan Fazlur Rahman dan Fred Donner – adalah bahawa Islam, sebagai agama universal, bukan hanya bertujuan untuk merangkul semua orang, melainkan juga bertujuan mengajarkan tentang keselamatan di akhirat yang inklusif, di mana Tuhan akan menyelamatkan sesiapa pun yang berbuat baik dan beriman, apa pun agama formal yang dipeluknya.
Namun, sedikit berbeza dengan Rahman dan Donner, Cak Nur tidak saja menggunakan pendekatan sejarah untuk membentuk usulan universalisme ini. Cak Nur juga melakukan penyelidikan ke atas makna asli dari perkataan al-islam untuk membuktikan bahwa al-islam tidak sekadar bermakna agama formal yang dijalankan kaum Muslim, melainkan merupakan intipati substanstif setiap agama.
Al-Islam dan Titik Temu Agama-Agama
Ada satu rintangan besar yang selama ini menghalang Muslim untuk menyedari kesetaraan agama-agama. Saya telah mengatakan bahawa semua agama lahir sebagai fenomena setempat dan bersifat khusus, sehingga mudah untuk menganggap bahwa Islam juga bersifat setempat dan khusus, dan kerana itu menjadi eksklusivis. Namun, cabaran atas Islam lebih sulit dari sekadar masalah setempat dan kekhususan. Masalah dan rintangan besar tersebut adalah pemaknaan atas firman Tuhan “sesungguhnya agama di sisi Tuhan hanyalah Islam” (Ali Imran 3: 19) dan “orang yang mencari agama selain Islam, tidak akan diterima, dan di akhirat akan menjadi golongan yang sengsara menderita” (Ali Imran 3: 85).
Sejak mula membahaskan universalisme Islam, Cak Nur tampak memahami bahawa cabaran utama bagi pemikiran beliau ini terletak pada masalah pemaknaan kata “Islam”. Oleh kerana itu, sebagai hujah utama, Cak Nur mengajukan interpretasi semula kekata “Islam”. Perkataan Arab al-islam diselidiki untuk mencari jawaban dari pertanyaan apakah ia bermakna agama formal yang terinstitusi, sebagaimana pada umumnya dikenali sebagai agama Islam atau apakah ia bermakna umum dan universal, sehingga pada dasarnya terdapat di jantung setiap agama?
Sebagaimana akan kita lihat, Cak Nur menemukan bahawa al-islam yang termaktub di dalam al-Qur’an lebih condong bermakna umum dan universal sebagai sikap berserah kepada Tuhan. Islam tetap dapat dipandang sebagai sebuah agama formal yang secara khusus dipeluk oleh kaum Muslim. Namun, menurut Cak Nur, jika kita ingin ketahui makna al-islam dan muslimun yang tertulis di dalam kitab suci, maka kata-kata tersebut pada dasarnya bererti sikap berserah, dan bukan bererti agama formal.
Tambahan lagi, kelak hasil kajian beliau ini diperkuat oleh sejarawan Fred Donner, yang menemukan bahawa gerakan Nabi Muhammad tidak sedari awal menjadi sebuah agama formal. Agama formal dan khusus dengan nama Islam baru (huruf ‘I’ besar) terbentuk sekitar dua abad setelah kepergian Nabi Muhammad.
Tetapi, ini bukan sekadar masalah mengajukan tafsir atas kata al-islam. Cak Nur hendak melakukan sesuatu yang lebih radikal. Menurut beliau, al-islam bukan sebuah nama dan simbol. Ini adalah sebuah sikap utama yang harus dimiliki setiap orang.
Dari penjelasan Cak Nur, dapat dilihat bahawa al-islam – yakni sikap berserah kepada Tuhan – terletak di pusat pandang etika dan kosmologi. Secara etika, manusia menjadi hamba Tuhan yang tulus jika dia sedar akan kepasrahan dan kebergantungan kepada-Nya. Secara kosmologi, gerakan setiap benda dan ciptaan di alam semesta ini adalah sebuah gerak kepasrahan, yakni ketundukan mereka pada hukum-hukum yang Tuhan telah tetapkan kepada alam. Maka, secara kosmologi dan etika, manusia pun harus menunjukkan kepasrahan itu, dengan bersungguh-sungguh bergantung pada kasih sayang Tuhan, dan mentaati perintah-Nya.
Oleh kerana itu, maka Tuhan pun berfirman “sesungguhnya al-din (jalan ketaatan) di sisi Tuhan hanyalah al-islam (kepasrahan).” Demikian itulah bagaimana Cak Nur memberi erti ayat tersebut, sehingga al-islam di situ tidak bermakna agama formal yang terinstitusi.
Menurut Cak Nur, secara alamiah (yakni prinsip kosmologi) tidak ada sikap keagamaan yang tulus, asli, dan jujur, selain sikap kepasrahan ini. Kembali pada pandangan sejarah, Cak Nur menekankan bahawa kerana Tuhan selalu mengutus nabi dan rasul sepanjang sejarah, maka sudah sewajarnya jika ajaran berserah kepada Tuhan ini dapat ditemukan di jantung semua agama. Di antara ujaran penting beliau adalah “tidak ada agama tanpa al-islam (sikap kepasrahan kepada Tuhan)”, dan “semua agama yang benar pada hakikatnya adalah al-islam, yakni semuanya mengajarkan sikap pasrah kepada Sang Maha Pencipta”.
Islam Substantif
Cak Nur telah berhasil mendemonstrasikan sebuah definisi Islam yang universal. Seperti telah saya katakan, rintangan terbesar bagi seorang Muslim untuk bersikap toleran, ramah dan terbuka terletak pada pemaknaan Islam sebagai agama eksklusivis dan sangat khusus. Cak Nur kemudian membuat makna Islam menjadi inklusif dan universal. Namun, meskipun Islam telah menjadi universal, kita masih memiliki satu pertanyaan: bagaimana dengan ritual, dogma, simbol, dan segala formalisme beragama yang saling berbeza-beza di antara semua agama?
Di dalam buku Islam Doktrin dan Peradaban, Cak Nur tidak hanya menjelaskan dasar-dasar universalisme Islam yang telah kita bahaskan di atas. Tidak kalah penting dari itu adalah kesan yang ditimbulkan oleh universalisme agama. Bagi Cak Nur, universalisme Islam bukan hanya mampu membuat seorang Muslim menjadi terbuka, ramah dan toleran kepada umat beragama yang lain, melainkan juga akan membuat pergeseran paradigma dari formalisme beragama kepada substansi beragama.
Menurut Cak Nur, sebagai agama universal, Islam telah membezakan antara aspek substantif dan aspek formal dalam agama. Antara keduanya, tentu saja yang pertama lebih unggul dan utama. Cak Nur bahkan mengatakan bahawa Islam tidak bersandar pada formalisme dalam dogma, simbol dan ritual. Kebenaran tentang hal ini bukan hanya kerana koheren dengan premis universalisme. Sebuah ayat panjang di dalam al-Qur’an (al-Baqarah 2:177) mewakili pesan keutamaan aspek substantif dalam beragama yang diucapkan oleh Cak Nur.
Saya rasa kita perlu mengutip ayat tersebut:
“Kebajikan itu bukanlah bahawa kamu menghadapkan wajahmu ke arah timur atau barat. Melainkan kebajikan itu ialah sikap seseorang yang beriman kepada Tuhan, akhirat, para malaikat, kitab suci, dan para nabi. Dan sikap mendermakan harta betapa pun ia mencintainya, kepada sanak keluarga, anak-anak yatim, kaum miskin, orang terlantar di perjalanan, orang pengemis, dan hamba-hamba. Dan sikap menegakkan solat dan menunaikan zakat. Serta, sikap menepati janji jika berjanji, serta sikap yang tabah dalam keadaan susah, menderita, dan kekurangan. Mereka itulah orang-orang yang benar, dan mereka itulah orang bertakwa.”
Maka, berangkat dari ayat tersebut Cak Nur memberikan penegasan tentang Islam sebagai agama universal yang tidak wajar dibatasi oleh suatu formalisme apa pun, seperti formalisme “menghadap ke timur atau ke barat”. Mengutip sarjana Abdullah Yusuf Ali – penulis tafsir The Holy Qur’an – Cak Nur mengatakan bahawa ayat tersebut telah mempertegas idea dasar bahawa suatu kebenaran tidak menghendaki formalisme absolut, dan bahawa kebajikan – yang merupakan intisari agama – harus difahami oleh segenap pemeluk agama secara substantif, dinamik, dan universal, yakni berlaku di mana sahaja, bila-bila masa, dan oleh sesiapa pun.
Kesimpulan
Terlahir sebagai agama dengan konteks khusus dunia Arab di abad ke-7 Masehi tidak membuat Islam miskin dari pesan-pesan universal. Meskipun begitu, Islam harus menerima risiko menjadi agama yang dipersepsi oleh umatnya sendiri sebagai agama formal yang eksklusivis. Terutama setelah era Nabi Muhammad, menurut sejarawan Fred Donner, Islam semakin tajam menjadi agama formal yang terpisah dari agama-agama lain yang telah mapan. Formalisme dan eksklusivisme ini kemudian turut diabadikan dalam kitab-kitab tafsir dan fahaman ortodoksi, sehingga, misalnya, berdasarkan salah satu ayat al-Qur’an yang telah disebut, umat Islam memandang bahawa hanya Islam satu-satunya agama yang benar dan selamat secara absolutis.
Melalui tulisan ini, saya telah menunjukkan upaya Cak Nur untuk menghidupkan semula semangat universalisme Islam. Sebagai seorang Muslim, Cak Nur sungguh-sungguh meyakini bahawa agama yang benar seperti Islam tidak akan mengizinkan sikap-sikap totalitarian dan absolutisme seperti diajarkan berbagai aliran dan gerakan konservatif di dalam Islam. Tambahan, Cak Nur benar-benar mampu menemukan dan menjelaskan bahawa Islam, baik dalam doktrin mahupun peradabannya, bersifat universal, dan lebih mengutamakan keberagamaan yang substantif.
Akhirnya, melalui Cak Nur, kita memahami bahawa universalisme Islam tidak semata-semata bererti bahawa ajaran Islam ditujukan untuk seluruh manusia. Pengertian ini tidak lengkap, dan lebih sering dipakai secara apologetik untuk berdabik dada akan keunggulan Islam atas agama-agama lain. Yang Cak Nur tekankan adalah bahawa al-islam – yakni sikap berserah atau pasrah pada Tuhan – juga merupakan intisari agama-agama lainnya, sehingga menjadi titik temu antara semua agama. Itulah mengapa al-islam, secara alamiah, bersifat universal. Ianya terletak di jantung semua agama.
Ibnu Rusyd
Ibnu Rusyd seorang lulusan MA daripada Universitas Paramadina, dan antara pengasas Lingkar Kaji Filsafat, Jakarta, Indonesia. Beliau juga penulis buku Agama Masa Depan, Masa Depan Agama: Esai-Esai tentang Hubungan Agama dengan Sains di Abad 21, Pemikiran Islam, dan Peradaban Islam di Dunia Modern (Bintang Semesta Media, 2022).