ARTICLES
- Home
- Articles
Teladan Sejarah dari Masyarakat Majmuk Khilafah Uthmaniyah
Masyarakat Islam di Singapura pasti seringkali mendengar istilah ‘masyarakat majmuk’. Menurut Kamus Dewan Edisi ke-4, masyarakat majmuk bererti sebuah masyarakat yang terdiri daripada beberapa bangsa dan kaum. Ini termasuk kewujudan pelbagai agama. Maka dari sudut bahasa, jelas menunjukkan masyarakat Singapura hidup di dalam sebuah masyarakat majmuk yang terdiri dari pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, India dan ramai lagi, dan juga agama yang berbeza-beza. Namun, masyarakat majmuk bukan sekadar menerima kenyataan fakta akan wujudnya kepelbagaian. Ianya memerlukan kita menolak diskriminasi dan menerima kesetaraan setiap warga walaupun berbeza kaum dan agama.
Buat segelintir umat Islam, istilah masyarakat majmuk seakan-akan mempunyai konotasi yang negatif. Mereka berpendapat bahawa hidup di dalam masyarakat majmuk bertentangan dengan ajaran Islam. Pemikiran sedemikian wujud kerana mereka terpengaruh oleh ideologi-ideologi yang menolak konsep masyarakat majmuk. Ditambah dengan pemahaman agama yang tidak tepat, mereka menyeru umat Muslim untuk berhijrah ke negara-negara yang majoriti penduduknya beragama İslam untuk menjadi Muslim yang sejati sambil berusaha untuk mendirikan sebuah negara Islam.
Oleh kerana wujudnya pemikiran seperti itu, kita harus mengkaji sejarah dan tamadun Islam untuk memastikan sama ada umat Islam diwajibkan untuk mendirikan negara Islam dan menolak konsep masyarakat majmuk di mana semua warga dapat hidup tanpa diskriminasi.
Contoh dari zaman Khilafah Uthmaniyah
Dalam lembaran sejarah dan tamadun İslam, jelas menunjukkan bahawa masyarakat Islam sentiasa hidup di dalam keadaan masyarakat majmuk. Di antara buktinya adalah masyarakat Islam pada zaman Khilafah Uthmaniyah yang berdiri selama lebih kurang 600 tahun. Oleh kerana tanah kekuasaan Khilafah Uthmaniyah meliputi 3 benua, iaitu benua Afrika, Asia dan Eropah, maka masyarakat Islam di zaman tersebut bukan sahaja hidup berbilang agama, bahkan berbilang bangsa dan budaya. Ini jelas menunjukkan bahawa hidup di dalam keadaan masyarakat majmuk bukanlah sesuatu yang asing. Pada waktu itu, masyarakat Islam hidup berdampingan dengan masyarakat Katolik, Ortodoks dan Yahudi. Secara umum, kebebasan beragama sangat dititikberatkan. Inilah yang digelar sebagai sistem “millet” di mana pemerintah Islam tidak mencampuri hal-hal agama lain selagi tidak menggangu keselamatan wilayah pemerintahan.
Pada waktu yang sama, kedudukan geografi ibu kota Khilafah Uthmaniyah, iaitu Istanbul, memungkinkan keadaan majmuk tersebut. Istanbul terletak di antara benua Asia dan Barat, serta dikelilingi 3 lautan iaitu Laut Hitam, Laut Agea dan Laut Mediterania. Makanya, pelbagai bangsa dari setiap pelosok dunia akan singgah ke Istanbul untuk menjalani pelbagai urusan. Dengan mengintegrasikan pelbagai budaya dan bangsa, dan diikuti oleh sifat terbuka masyarakat Islam, pemerintahan Uthmaniyah telah berjaya membina tamadun yang agung dan menyumbang kepada pembangunan Islam di dalam pelbagai bidang termasuk seni bina, perubatan dan juga falsafah. Istanbul telah menjadi pusat tamadun dunia dan tempat di mana para sarjana Islam dan juga bukan Islam menuntut ilmu.
Sehingga kini, pelbagai khazanah ilmu dari Eropah, Afrika dan Asia boleh dijumpai di perpustakaan di Istanbul yang usianya lebih seribu tahun. Ini tidak mungkin boleh tercapai jikalau masyarakat Islam pada waktu itu mempunyai sifat yang tertutup dan tidak berlapang dada di dalam berinteraksi dengan masyarakat yang bukan Muslim sepanjang kehidupan seharian mereka.
Sifat toleransi
Masyarakat Islam pada era kekhalifahan Uthmaniyah secara umum menunjukkan sikap toleransi yang tinggi terhadap masyarakat bukan Islam. Pada waktu yang sama, mereka juga menekankan aspek kebebasan beragama dan menjaga hak asasi masyarakat yang bukan Islam. Toleransi masyarakat Islam terhadap masyarakat yang bukan Islam begitu tinggi sehingga diikhtiraf sendiri oleh masyarakat Yahudi. Setelah kejatuhan pemerintahan Islam Andalusia terakhir di Granada pada tahun 1492, masyarakat Yahudi diusir dari Sepanyol. Disebabkan penindasan agama wilayah-wilayah Kristian, masyarakat Yahudi memilih untuk menetap di Istanbul. Ini kerana masyarakat Yahudi tahu akan sifat toleransi dan keterbukaan masyarakat Islam di Istanbul. Sifat beginilah yang harus kita contohi terutamanya di dalam menyantuni masyarakat yang bukan Islam.
Bukan itu sahaja, masyarakat Islam pada era itu juga telah menunjukkan sifat adil terhadap pelbagai kaum, tidak kira bangsa atau agama. Sebagai contoh, kanak kanak diberi hak untuk belajar dan menuntut ilmu tanpa mengira bangsa atau agama. Pada masa yang sama, wang zakat dari masyarakat Islam juga telah diagihkan dan dimanfaatkan oleh golongan bukan Islam. Tambahan, setiap lapisan masyarakat secara bebas dapat memanfaatkan perpustakaan dan universiti yang diwakaf oleh masyarakat Islam. Masyarakat yang bukan Islam juga bebas membina rumah ibadat mereka serta memelihara adat dan budaya masing-masing.
Yang paling penting sekali, sifat kepercayaan masyarakat Islam terhadap bukan Islam jelas terlihat di dalam pemerintahan. Walaupun tidak beragama Islam, peluang untuk menyandang jawatan jawatan tinggi di dalam pemerintah dibuka kepada masyarakat yang bukan Islam. Nilai toleran dan rahmah terhadap masyarakat bukan Islam masih diteruskan oleh bangsa Turki hingga ke hari ini. Jika kita kaji peristiwa sedih abad ke-20 di saat bangsa Yahudi ditindas oleh Nazi Jerman yang zalim, masyarakat Yahudi dilindungi oleh bangsa Turki dan Republik Turki atas dasar kemanusiaan.
Belajar dari sejarah
Seperti yang dikongsikan di atas, masyarakat Islam dahulu mereka menjadi masyarakat yang bertamadun agung dan maju hasil dari interaksi dan integrasi dengan masyarakat lain walaupun berlainan bangsa dan budaya dan agama. Sifat-sifat beginilah yang harus diterapi dalam sanubari masyarakat Melayu/Islam di Singapura demi menjadi masyarakat Melayu/Islam yang lebih progresif berteraslkan nilai-nilai İslam.
Inilah tujuan mempelajari sejarah. Kita seharusnya mencungkil teladan dari tamadun yang lepas. Perkara yang baik boleh kita terapkan dan yang buruk ditolak. Walaupun perbincangan ini menyebut nilai-nilai utama yang wujud di dalam sistem Khilafah Uthmaniyah secara umum, ini tidak juga bermakna bahawa segalanya muluk-muluk belaka. Ada juga sisi hitam di dalam sejarah pemerintahan Uthmaniyah, seperti apa yang terjadi kepada masyarakat Armenia pada Perang Dunia Pertama dan bangsa Yunani sewaktu Perang Kemerdekaan Yunani. Namun, faktor utama ialah pemberontakan, walaupun kita akur tindakan pemerintahan Uthmaniyah keterlaluan dan melanggar batas-batas kemanusiaan. Ini seharusnya menjadi pengajaran untuk kita juga supaya tidak melakukan kekejaman yang sama.
Memerdekakan minda dan hijrah pemikiran
Untuk belajar dari sejarah, kita haruslah pertama dahulu, memerdekakan minda. Kita sepatutnya tidak dibelenggu oleh pemikiran eksklusivis dan melampau di dalam beragama mahupun pandangan kita terhadap bangsa dan masyarakat lain. Kita juga harus bijak membezakan fakta dan mitos. Pemikiran yang disuap dengan ideologi tanpa mahu berfikiran secara kritiks, hanya akan membinasakan masyarakat kita.
Setelah lebih setengah abad Singapura menjadi sebuah negara yang merdeka, sudah tiba masanya untuk masyarakat Melayu Islam mempraktikkan hijrah pemikiran, terutamanya tentang penerimaan terhadap konsep masyarakat majmuk yang saksama. Kita haruslah lebih aktif, jujur dan ikhlas di dalam berinteraksi dengan masyarakat lain dengan penuh akomodasi dan menjauhkan sikap prejudis dan sangsi. Dengan itu, kita tidak perlu merasakan perlunya mendominasi golongan lain dan mendirikan negara yang penguasanya hanya boleh diterima dari bangsa dan agama kita sahaja. Selagi kebebasan menjalankan kewajiban agama tidak terganggu, kita boleh hidup sebagai Muslim sejati walaupun di bawah pemerintah yang bukan Islam.
Yang dituntut di dalam aspek pemerintahan ialah keadilan dan kesaksamaan. Kedua-dua nilai ini merupakan nilai yang diajar di dalam agama Islam dan agama-agama lain. Kita boleh bersatu pada nilai untuk hidup secara majmuk di zaman moden ini.

Syafiq Mardi
Syafiq Mardi seorang lulusan MA di bidang Sejarah Islam daripada Universiti Cukurova, Adana, Turki. Beliau pernah mengkaji hubungan Uthmaniyah-Singapura sebagai penolong penyelidikan di Lembaga Perpustakaan Singapura, dan kini bertugas di sebuah organisasi Islam di Singapura.